Majlis Pengagihan Bubur Lambuk Meriahkan Suasana Ramadhan Di Kampung Muhibah

Disiarkan pada 18 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Majlis Pengagihan Bubur Lambuk anjuran SEBERKAS Bukit Goram bersama Unit SEBERKAS Kampung Muhibah telah berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Kampung Muhibah di sini.

Majlis yang bermula jam 5 petang itu telah dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat, baru-baru ini.

Dalam ucapan ringkas, Datuk Jefferson menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur dan menekankan kepentingan majlis seperti ini untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti selain berharap agar program sebegini dapat diteruskan setiap tahun.

Pada majlis tersebut, Datuk Jefferson mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk sekitar dan pengguna jalan raya berdekatan.

Turut hadir Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit, Temenggong Wasli Nor, Pemancha Abg Hamzah Abg Bolhassan,Ketua Kampung Razali Abdullah dan Pemancha Wong Kie Ing.-EDISI UKAS