Yang di-Pertua Negeri Sarawak Rasmikan Masjid Darul Makmur Bahagian Serian

Disiarkan pada 17 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Masjid baharu yang dinamakan Masjid Darul Makmur Bahagian Serian telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin.

Majlis dimulakan dengan berbuka puasa dan diteruskan dengan majlis perasmian masjid oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Selesai jamuan makan malam, majlis diserikan dengan bacaan Al-Quran oleh Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Sarawak Ke-64, Mohd Faizil Affandi, bersempena dengan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak.

Majlis turut diisi dengan tazkirah oleh Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.

Para jemaah turut menunaikan Solat Isyak dan Tarawih yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha Majlis Islam Sarawak Mual Suaud, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph serta tetamu kehormat lain.

Masjid Darul Makmur kini menjadi mercu tanda baharu bagi komuniti Islam di Bahagian Serian dan menjadi pusat pembangunan sahsiah dan ukhuwah masyarakat setempat. EDISI UKAS