Ramadan Serlah Semangat Perpaduan dan Keharmonian Rakyat Sarawak

Disiarkan pada 17 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum begitu terserlah dalam sambutan Ramadan di Sarawak, menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk terus memperkukuh ikatan silaturahim serta saling menyokong sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Ketika mengunjungi Bazar Ramadan di Emart Riam pada Ahad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut mengucapkan ‘Selamat Menunaikan Ibadah Puasa’ kepada semua umat Islam dan menekankan kepentingan perpaduan dalam masyarakat majmuk.

Beliau menegaskan bahawa keharmonian yang dinikmati di Sarawak harus terus dipelihara sebagai satu warisan yang membanggakan.

Dalam lawatan itu, Dato Sri Lee mengambil kesempatan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung serta menyokong usahawan kecil dengan membeli pelbagai juadah tempatan.

Kehadirannya mencerminkan komitmen kerajaan dalam membantu merancakkan perniagaan kecil dan sederhana, terutamanya dalam suasana Ramadan yang penuh dengan aktiviti ekonomi dan sosial.

Bazar Ramadan Emart Riam terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum yang bersama-sama menikmati kemeriahan suasana menjelang berbuka puasa.

Keadaan ini jelas membuktikan bahawa keharmonian dan perpaduan tetap menjadi asas kehidupan rakyat di negeri ini.

Dato Sri Lee menegaskan kepentingan aktiviti seperti ini dalam memperkukuh hubungan antara komuniti serta memajukan ekonomi setempat.

Lawatan ini sekali lagi membuktikan bahawa Bazar Ramadan bukan sekadar tempat membeli juadah, tetapi juga platform yang menyatukan masyarakat dalam semangat kebersamaan dan keharmonian.

Turut menyertai lawatan beliau ialah barisan pemimpin dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin dan SUPP Riam serta pemimpin masyarakat Melayu setempat. - EDISI UKAS