KOTA SAMARAHAN: Superintenden Damataries Lautin secara rasmi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Samarahan yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan DSP Jaimi Husin yang akan memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Serian.
Majlis serah terima tugas antara kedua-dua pegawai kanan polis itu berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan dengan disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato' Mancha Ata.
Dalam ucapannya, Superintenden Damataries Lautin yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Lundu, berikrar akan menjalankan amanah baharunya dengan penuh tanggungjawab demi memastikan keselamatan dan ketenteraman daerah ini terus terpelihara.
Sementara itu, Dato' Mancha Ata menzahirkan penghargaan kepada Jaimi Husin atas komitmen dan khidmat bakti beliau sepanjang setahun memimpin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.
Beliau turut berharap agar DSP Damataries Lautin dapat meneruskan kecemerlangan dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.
Untuk rekod, DSP Jaimi Husin telah diberikan kepercayaan untuk memangku pangkat Superintenden sebagai Ketua Polis Daerah Kota Samarahan selama setahun sejak 4 Mac 2024 sebelum dipindahkan ke IPD Serian.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak; Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak, SAC Rizal Abd Rahman Sidek; serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak, SAC Lim San Aik.-EDISI UKAS