KOTA SAMARAHAN: Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2025 bagi kawasan Samarahan telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Yayasan RISDA dan RISDA Negeri Sarawak.
Program ini bertujuan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah membuat persediaan bagi sesi persekolahan baharu.
Sebanyak RM104,825 telah disalurkan oleh Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan kepada 599 pelajar yang layak menerima bantuan.
Bantuan ini diberikan kepada pelajar beragama Islam daripada golongan asnaf, fakir miskin dan B40, melibatkan 301 pelajar sekolah rendah dari 40 buah sekolah dan 298 pelajar sekolah menengah dari lima buah sekolah di kawasan Samarahan.
Dalam ucapan perasmiannya, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia, Datuk Rubiah Wang menyatakan bahawa, program ini bukan sahaja menyediakan bantuan material tetapi juga menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar agar lebih bersedia dalam menuntut ilmu.
"Sebagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), RISDA sentiasa komited dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar terutamanya pekebun kecil.
"Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir dalam pendidikan," katanya.
Datuk Rubiah turut menekankan bahawa kerajaan memberi perhatian serius kepada cabaran pendidikan luar bandar termasuk jurang digital.
Beliau merujuk kepada Laporan Skor Kompetensi Digital (DCS) 2023, di mana pelajar luar bandar mencatatkan skor 3.24 daripada 5.00, sedikit rendah berbanding purata kebangsaan iaitu 3.31.
"Oleh itu, usaha memperkukuh kemahiran literasi digital dalam kalangan pelajar luar bandar akan terus dipertingkatkan," tegasnya lagi.
Beliau juga menyentuh beberapa inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti Program Anak Kita yang menyasarkan 80,000 pelajar berisiko tercicir serta Program Literasi dan Numerasi (PLaN) bagi memperkukuh kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.
Selain itu tambahnya, RISDA turut melaksanakan Program Tuisyen Rakyat yang telah bermula sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) di mana pada tahun 2025, RISDA Negeri Sarawak memperuntukkan RM28,750 kepada 23 pusat tuisyen di seluruh negeri yang memberi manfaat kepada 3,000 pelajar desa dan 1,000 guru terpilih di 200 pusat tuisyen seluruh negara.
Datuk Rubiah Wang menegaskan bahawa Program JKS 2025 ini membuktikan komitmen kerajaan dan agensi berkaitan dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat khususnya pelajar luar bandar.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan RISDA merangkap Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Wan Mohd Hafiz Wan Ibrahim, Pengarah RISDA Negeri Sarawak Shaharuddin Saberi, Pengarah Jabatan Kemas Sarawak Anisah Saidin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid Awang Mohmard @ Mohamad Awang Ni, Wakil Residen Bahagian Samarahan Zainab Halip, Penolong Pegawai Daerah Samarahan Hayati Sahari serta wakil agensi yang berkaitan. -EDISI UKAS