ADUN Tamin Agih Geran MRP Kepada 23 Penerima

Disiarkan pada 17 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


TAMIN: Sejumlah RM360,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah diagihkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang kepada 23 penerima di kawasannya dalam majlis diadakan pada Sabtu.

Penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang dan badan bukan kerajaan (NGO).

Penyerahan telah diadakan di Rumah Panjang Tr. Simond Boom, Ulu Dijih, Selangau ketika Majlis Doa sempena memperingati pemergian mendiang ibu kepada ADUN Tamin selama setahun yang lepas.

Dalam ucapannya, Gira berpesan kepada semua penerima peruntukan supaya menggunakan geran tersebut dengan berhemah dan penuh intergriti, di samping menggalakkan peruntukan tersebut dapat digunakan untuk keperluan aktiviti JKKK Rumah Panjang mahupun Persatuan.

"Saya tidak mengira latar belakang rumah panjang tersebut dengan meneliti mereka melalui ideologi politik.

“Jika rumah panjang tersebut adalah di bawah konstituensi DUN Tamin, maka rakyat dan penduduk rumah tersebut adalah tanggungjawab saya selaku ADUN kawasan.

“Saya percaya rakyat di DUN Tamin lebih cakna dalam menilai saya selaku ADUN Tamin yang telah berkhidmat untuk mereka selama dua penggal dan termasuklah penggal yang ketiga saya pada ketika ini,” ujarnya.

Turut hadir menyaksikan Majlis Penyerahan Cek MRP tersebut ialah penghulu-penghulu di seluruh kawasan DUN Tamin, kaunselor-kaunselor, tuai-tuai rumah dan penduduk sekitar. - EDISI UKAS