BETONG: Sebanyak 1,200 bungkusan bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban sempena program Jerayawara Bubur Lambuk Tahun 2025.
Program anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Bukit Saban bersama Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.37 Bukit Saban pada Sabtu itu disempurnakan secara simbolik oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Ia diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Presiden Saberkas Negeri Sarawak yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, isteri Datuk Amar Douglas, Datin Amar Dato Doreen Mayang, Ahli Parlimen Betong merangkap Pengerusi Saberkas Cawangan Bukit Saban Dato Dr. Richard Rapu, Setiausaha Eksekutif Saberkas Negeri Sarawak Iszuan Haironi, Ketua Pergerakan Wanita PBB N.37 Bukit Saban Natasha Nasa Uggah dan ketua-ketua kaum dan masyarakat setempat.
Selepas itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkesempatan menyertai Majlis Berbuka Puasa Di Masjid Darul Syifa Spaoh.
Pada majlis itu, beliau telah menyampaikan geran tahunan kepada Masjid Darul Syifa dan 16 surau di Spaoh, geran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sumbangan duit raya kepada 305 orang warga emas Islam.
Selain itu, Dato Dr Richard turut menyampaikan geran serupa kepada masjid dan surau di situ. - EDISI UKAS