SIBU: Kelab Belia Lestari terus menunjukkan keprihatinannya terhadap komuniti dengan mengagihkan 1000 pek bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di kawasan Kampung Usahajaya Baru, Jalan Sentosa Salim, di sini pada Ahad.
Program tahunan ini bukan sahaja bertujuan untuk berkongsi rezeki di bulan Ramadan yang penuh keberkatan, malah bagi memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat.
Ia juga secara tidak langsung memberi kesedaran tentang pentingnya penglibatan aktif golongan belia dalam membina masyarakat yang lebih prihatin, bersatu padu dan bertanggungjawab.
Pendekatan yang mudah, mesra dan inklusif ini membuktikan bahawa Badan Bukan Kerajaan (NGO) mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Kira-kira 15 ahli kelab termasuk Pengerusi Kelab Belia Lestari, Muhammad Musztaqiem Hasin telah menjayakan inisiatif murni tersebut.-EDISI UKAS