Sarawak Terus Ke Hadapan dalam Tenaga Boleh Diperbaharui

Disiarkan pada 16 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak berada di hadapan dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui dengan pelbagai sumber seperti hidro, gas, dan solar, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Malaysia komited mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, sejajar dengan strategi di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Malaysia telah menetapkan sasaran dan strategi bagaimana tenaga akan dihasilkan.

“Sarawak pula berada pada tahap yang lebih maju dalam tenaga boleh diperbaharui, bukan hanya bergantung pada hidro dan gas, tetapi juga meneroka tenaga baharu seperti solar,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Asnaf anjuran Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak di Dewan Hikmah Petra Jaya, di sini, Ahad.

Beliau turut menekankan tiga aspek penting dalam pembangunan tenaga negara, iaitu jaminan bekalan tenaga (security energy), kelestarian alam sekitar (sustainability), serta kemampuan harga (affordability) bagi memastikan rakyat mendapat manfaat secara menyeluruh.

“Kalau kita hasilkan tenaga tetapi tidak mampu dibayar oleh rakyat, itu juga menjadi cabaran,” tambahnya.

Dalam usaha memperkukuh jaringan tenaga serantau, Malaysia turut menerajui ASEAN Power Grid, satu inisiatif yang bakal mempertingkatkan integrasi tenaga di peringkat Asia Tenggara.

Langkah ini selaras dengan NETR yang bertujuan memastikan bekalan tenaga mampan, selamat, dan mampu milik bagi rakyat.

Melalui ASEAN Power Grid, Malaysia termasuk Sarawak, berpotensi menjadi hab tenaga boleh diperbaharui utama di rantau ini, dengan memanfaatkan sumber hidro dan solar yang melimpah.

Integrasi tenaga ini bukan sahaja mengukuhkan kerjasama serantau tetapi juga menyumbang kepada sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.-EDISI UKAS