BINTULU: Majlis Makan Malam Jalinan Kasih anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Kemena Selangau berlangsung meriah di Dinner World Restaurant, Bintulu, pada Sabtu.
Majlis yang bertujuan mengumpul dana bagi tabung sekolah itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, yang turut mengumumkan peruntukan RM15,000 kepada PIBG SK Sungai Kemena.
Selain itu, wakil ADUN Tamin, Ir. Christoper Gira Sambang, turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000, manakala SK Sungai Tau Selangau menerima peruntukan RM3,000.
Dalam ucapan perasmiannya, Edwin menyatakan penghargaan kepada pihak PIBG dan sekolah kerana berjaya menganjurkan program sebegini bagi kepentingan pendidikan anak-anak di kawasan Selangau.
“Saya amat berbangga dengan kerjasama PIBG dan pihak sekolah dalam menjayakan program ini.
Pendidikan amat penting dalam melahirkan pelajar berilmu yang bakal menjadi pegawai daerah, pegawai kerajaan, dan guru di masa depan,” katanya.
Lebih 200 tetamu, termasuk ibu bapa murid SK Sungai Kemena serta ahli PIBG dari sekolah berdekatan, turut serta dalam majlis ini.
Pada sebelah pagi, beliau turut menghadiri Mesyuarat PIBG SMK Tatau, menyerahkan bantuan kerusi kepada Pejabat Daerah Tatau, dan menghadiri majlis berbuka puasa di Kampung Dagang, Tatau.
Turut hadir, beberapa tetamu kehormat, antaranya wakil YB Ir. Christoper Gira; Alok Meliau, Guru Besar SK Sungai Kemena; Dandy Garit, Penolong Pegawai Daerah Selangau; Chua Siong Wei, serta pemimpin tempatan seperti Pemanca Mathew Belawan Daut dan Penghulu Dom Brok.-EDISI UKAS