MIRI: Program Sumbangan Kasih Ramadan, Bubur Lambuk dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin yang berlangsung anjuran Persatuan Prihatin Masyarakat Miri (PPMM), Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd, dan Pusat Khidmat Masyarakat N73 Piasau di Dewan Serbaguna Kampung Luak, pada Ahad contoh terbaik keharmonian dan perpaduan maasyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew bersama pihak penganjur menyampaikan sumbangan berupa Duit Raya, beras, dan barangan keperluan kepada 100 penerima.
“Sarawak merupakan sebuah negeri yang mengamalkan kepelbagaian budaya dan agama.
Sikap keterbukaan serta keharmonian inilah yang menjadi kekuatan utama rakyat kita, mencerminkan keunikan budaya negeri ini,” katanya.
Beliau turut memuji inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) yang secara aktif menganjurkan program seumpama ini setiap tahun.
Katanya, aktiviti seperti pengagihan bubur lambuk dan sumbangan barangan keperluan bukan sekadar membantu golongan yang kurang bernasib baik, tetapi juga melangkaui sempadan kaum dan agama, memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Dalam perayaan yang penuh kegembiraan ini, kami ingin menyumbang sedikit sebanyak agar semua orang dapat merasakan kasih sayang dan keprihatinan.
Saya percaya masih ramai individu berhati mulia yang turut membantu secara senyap, dan setiap usaha ini sangat bermakna,” tambahnya.
Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memastikan nilai perpaduan, kesyukuran, dan perkongsian terus subur dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS