SIMUNJAN : Seramai 88 penduduk yang terdiri daripada Ketua Isu Rumah (KIR) Kampung Hijrah Fasa 2 menerima sumbangan bakul makanan dalam program yang dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hijrah Fasa II yang berlangsung di Masjid Darul Hijrah, pada Ahad.
Sumbangan tersebut diserahkan dalam satu Program Semurni Kasih Ramadhan: Pengagihan Bakul Makanan, Bubur Lambuk Dan Bubur Pedas yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
Program pengagihan bantuan ini diadakan sebagai usaha untuk membantu setiap penduduk kampung terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban penduduk kampung yang kurang berkemampuan, dengan menyediakan barangan keperluan asas.
Menurut Awla, inisiatif ini adalah salah satu usaha berterusan pihak kerajaan dalam memastikan golongan yang kurang bernasib baik tidak terpinggir, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh berkah ini.
"Ini adalah waktu yang terbaik untuk kita semua berkongsi rezeki.
"Dengan adanya sumbangan seperti ini, diharapkan dapat meringankan beban penduduk Kampung Hijrah Fasa 2 dalam membuat persiapan untuk menyambut Syawal nanti," katanya ketika ditemui dalam program tersebut.
Beliau berharap agar lebih banyak program seperti ini dapat diadakan pada masa akan datang bagi memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Sebagai sebahagian daripada program tersebut, selain bakul makanan, para penduduk kampung juga menerima bubur lambuk dan bubur pedas yang turut diagihkan untuk dinikmati bersama-sama serta lampu pelita bagi menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi keperluan makanan, tetapi juga menyemai semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat.
Hadir sama, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan Mohd Raili Jawawi, Penghulu Ahmad Dol Simpol, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi, Ketua Kaum Kampung Hijrah Fasa 2 Dara @ Khartin Amat dan Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Bojeng Ali. -EDISI UKAS