150 Penerima Bantuan Dari JKM Terima Sumbangan Menjelang Raya

Disiarkan pada 16 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


SIMUNJAN : Menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang hanya tinggal beberapa minggu lagi, seramai 150 penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Samarahan telah menerima sumbangan dalam Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2025.

Program ini diadakan bersempena dengan Program Ziarah Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama Pemimpin, yang berlangsung di Masjid Darul Hijrah pada Sabtu.

Majlis yang penuh bermakna itu diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.

Menurut Rodiyah, sumbangan ini diberikan kepada golongan sasar seperti orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal, dan penerima bantuan am kepada pesakit.

Penyampaian bantuan perayaan ini bertujuan untuk meringankan beban penerima terutama menjelang Syawal yang akan datang.

“Bantuan ini diharapkan dapat memberi kegembiraan dan memudahkan keluarga yang memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata Rodiyah ketika berucap bagi merasmikan majlis tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua umat Islam untuk memanfaatkan bulan penuh rahmat ini dengan memperbanyakkan amal kebajikan dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Sementara itu, Awla menambah bahawa sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan Sarawak sentiasa peka terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.

Beliau menekankan bahawa penganjuran majlis ini adalah untuk memberi manfaat kepada golongan sasar JKM, terutamanya bagi mereka yang menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat, dan majlis ini merupakan salah satu usaha dalam memastikan masyarakat yang memerlukan mendapat perhatian dalam bulan yang mulia ini,” jelas Awla.

Seramai 150 penerima sumbangan ini berasal daripada pelbagai kampung di daerah Simunjan seperti Kampung Kelka, Kampung Sageng, Kampung Nanas, Kampung Lot Hijrah, Kampung Lintang, Kampung Sedilo, Kampung Sabun, Kampung Pantong dan Kampung Tanjung Harapan.

Dalam majlis yang sama, Rodiyah juga turut menyampaikan sumbangan barangan kepada pihak Masjid Darul Hijrah yang terdiri daripada dua kotak kurma, 20 naskah Al-Quran, 20 naskah Surah Yasin serta 20 helai sejadah sebagai tanda penghargaan terhadap usaha mereka dalam menyediakan kemudahan dan tempat ibadah yang selesa kepada jemaah.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, wakil Pengarah JKM Sarawak Muhammad Zakeria Hattar, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan Pengiran Mohamad Najib Pengiran Mohamad dan Pengerusi Masjid Darul Hijrah Kamil Noh.

Dengan pengagihan sumbangan ini, diharapkan ia dapat memberi sedikit keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam membuat persiapan menyambut Syawal dan terus mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat di Simunjan. -EDISI UKAS