SIMANGGANG: Para kontraktor diingatkan agar memastikan projek yang dilaksanakan di Simanggang disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika turun padang meninjau kemajuan beberapa projek yang telah diluluskan di kawasan Simanggang pada Sabtu lalu.
Antara projek yang dilawati adalah pembinaan jalan akses ke tapak baharu Rumah Thomas Barau di Kampung Genting San, Undop, di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek ini dijangka siap dalam tempoh enam bulan, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman sebagai agensi pelaksana yang bertanggungjawab menyelesaikannya menjelang Julai tahun ini.
Selain itu, beliau turut melawat tapak pembinaan Rumah Japing Gema di Kampung Nyakai, Jalan Paip, Undop.
Beliau mendapati kemajuan pembinaan agak perlahan dan menggesa penduduk kampung yang terlibat untuk memberikan kerjasama penuh dalam mempercepatkan proses pembinaan.
Lawatan beliau berlanjutan ke tapak projek naik taraf Dewan Serbaguna Surau Darul Hasanah di Kampung Harmoni, Sri Aman, yang sedang giat dinaik taraf oleh para pekerja bagi memastikan ia siap tepat pada waktunya.
Selain itu, beliau juga meninjau kemajuan pembinaan tempat letak kereta baru di Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah, yang kini masih dalam fasa pembinaan.
Datuk Francis menegaskan bahawa setiap kontraktor yang terlibat perlu mematuhi jadual yang ditetapkan dan mengekalkan integriti serta disiplin dalam menyelesaikan projek tepat pada masanya.
Beliau turut menyeru agar penduduk memberi kerjasama yang diperlukan kepada kontraktor untuk memastikan tiada halangan yang boleh menangguhkan kemajuan projek. - EDISI UKAS