KUCHING: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen yang tidak menyokong usul penghargaan buat mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud adalah tindakan 'biadap'.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal-Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol menegaskan, perkara itu jelas mengambarkan adab budaya dan pemikiran sebuah parti politik yang tidak sihat.
“Merujuk kepada kenyataan YB Padungan (Chong Chieng Jen) yang tidak menyokong Usul Penghargaan buat mantan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak ini adalah gambaran nyata adab budaya dan pemikiran sebuah parti politik yang kasar, hipokrit dan biadap,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan kepada Mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menzahirkan penghargaan ke atas jasa dan sumbangan Almahrum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kawasannya ketika hayatnya semasa memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.-EDISI UKAS