KOTA SAMARAHAN: Program “Berambeh Sahur” terus mendapat sambutan meriah di kawasan Parlimen Kota Samarahan dengan harapan ia dapat dijadikan budaya berterusan khususnya dalam kalangan golongan belia.
Program ini dianjurkan oleh Pemuda GEN16 dengan kerjasama Pemuda PBB Muara Tuang, PBB Ranting Kampung Pinang, JKP Masjid Nurul Islam Kampung Pinang, Surau Darul Amanah Kampung Pinang, JKKK Kampung Pinang Hilir, JKKK Kampung Pinang Tradisi, Kelab KRT Kampung Pinang dan Kelab Kampina yang dihadiri dengan kehadiran pelbagai pihak telah menjadikan penganjuran tahun ini lebih bermakna dan meriah.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, turut hadir mengetuai program ini yang berlangsung di Masjid Nurul Islam Kampung Pinang awal pagi tadi.
“Pagi ini menandakan permulaan program ‘Berambeh Sahur’ di Kota Samarahan dan sambutan sangat menggalakkan dengan kehadiran ramai penduduk kampung yang bersemangat untuk mengimarahkan program ini serta masjid," kata Datuk Rubiah Wang.
Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada Datuk Rubiah Wang untuk menyerahkan bakul makanan kepada 14 orang asnaf di Kampung Pinang.
“Melihat wajah ceria dan senyuman penerima bantuan cukup membuatkan saya berasa bahagia dan saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan membantu persiapan menyambut Ramadan yang penuh barakah ini,” tambahnya.
Program ini bukan sahaja bertujuan menyantuni penduduk setempat tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti Kota Samarahan.-EDISI UKAS