‘Kamboh Raya’ Plaza Merdeka Semarakkan Semangat Perpaduan dan Kebajikan

Disiarkan pada 15 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Program ‘Kamboh Raya’ anjuran Plaza Merdeka menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dan kebajikan apabila anak-anak yatim serta asnaf dari Kampung Melayu Bau diraikan dalam majlis tersebut di pusat beli-belah itu pada Sabtu.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Sambil menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua pihak yang terlibat, beliau menekankan bahawa Ramadan bukan sahaja bulan untuk berpuasa tetapi juga waktu untuk merenung makna kesyukuran dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Ramadan mengajar kita untuk mensyukuri segala nikmat yang diberikan dan berkongsi dengan golongan yang kurang bernasib baik. Syawal pula adalah simbol perpaduan, kasih sayang dan kemurahan hati,” katanya semasa berucap.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Plaza Merdeka serta Pengarah Urusan Plaza Merdeka Holdings, Dato Steve Ng dan isterinya, Datin Anriza Wong Cordero atas keprihatinan mereka terhadap anak-anak yatim dan asnaf tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

“Sumbangan dan sokongan yang diberikan amat bermakna bagi mereka dan sangat dihargai oleh seluruh komuniti,” tambahnya.

Dato Sri Fatimah turut berharap agar program seperti ini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menanamkan nilai memberi, berkasih sayang dan bersatu padu.

“Semoga Allah memberkati kita semua dengan kedamaian, kebahagiaan, dan kejayaan. Saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua,” katanya mengakhiri ucapan.

Majlis ‘Kamboh Raya’ ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada para penerima, tetapi juga mengukuhkan semangat perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS