SFCF Tampilkan Keunikannya Sendiri, Sasar Satu Lagi MBOR Buat Sarawak

Disiarkan pada 08 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAaHAN: Penganjuran Festival Makanan dan Budaya Kota Samarahan (SFCF) yang akan membuka tirai pada 10 Mei ini bakal menampilkan keunikannya tersendiri apabila menyasarkan satu lagi rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk Sarawak.

Penganjuran pada tahun ini akan menyaksikan percubaan melakukan rekod pameran pelbagai jenis ulam-ulaman iaitu sebanyak 100 jenis ulam-ulaman dalam MBOR yang mana akan disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian pada 18 Mei depan.

Antara jenis ulam-ulaman yang akan dipamerkan termasuklah ulam raja, terung pipit, rebung, pucuk ubi, pucuk mudang, asam pelam, daun pegaga, umbud tepus, kangkung dan banyak lagi.

Perkara tersebut diumumkan dalam satu sidang media SFCF yang berlangsung di Majlis Perbandaran Kota Samarahan pada Rabu.

Majlis perasmian SFCF akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada hari pertama penganjurannya.

Edisi kali ini padat dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti Persembahan Gendang 24 Musim, Gendang Pampat Iban, kompang, malam kebudayaan, Ratu Cilik dan banyak lagi yang semestinya akan memeriahkan lagi festival ini.

Sebanyak 120 penyertaan untuk peragaan motorsikal berkuasa tinggi dan 60 penyertaan untuk ‘autoshow’ telah diterima dan akan berlangsung pada 19 Mei 2024 iaitu hari terakhir festival ini.

Turut diadakan nanti konvoi oleh penunggang ‘big bike’ yang bermula dari perkarangan pejabat Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) ke tapak festival di Aiman Mall, Kota Samarahan.

Selain itu, sebanyak 57 buah gerai turut disediakan untuk jualan makanan serta minuman di samping menampilkan pelbagai jenis makanan dari dalam dan luar negara seperti masakan kaum Melayu, Cina dan antarabangsa termasuklah Arab, Thailand, Vietnam, Korea dan Jepun. -EDISI UKAS