Gerak Rahmah Kukuhkan Perpaduan: 600 Bekas Bubur & Sumbangan Asas Diedarkan

Disiarkan pada 15 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Perpaduan peringkat Bahagian Kuching berlangsung meriah di Rumah JKKK Bandar Baru Samariang, di sini pada Sabtu.

Program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap ADUN Pantai Damai, Datuk Dr Haji Abdul Rahman Junaidi, yang turut berkesempatan beramah mesra dengan para peserta dan menyantuni masyarakat setempat.

Sebanyak 600 bekas bubur diagihkan kepada penduduk sekitar, dengan 200 bekas disumbangkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan 400 bekas lagi daripada Adabi.

Selain itu, 20 pek sumbangan keperluan asas turut disalurkan kepada golongan yang memerlukan, sebagai usaha meringankan beban mereka.

Menurut Datuk Dr Abdul Rahman, program seperti ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi juga menjadi platform terbaik untuk memperkukuhkan hubungan antara komuniti setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya KRT, Adabi dan Liansin yang bertungkus lumus menyediakan bubur serta menguruskan agihan sumbangan.

Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai satu simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat di kawasan Kuching.-EDISI UKAS