LIMBANG: Sebanyak 500 pek bubur manis telah diagihkan dalam Program Jerayawara Agihan Bubur Manis sempena Ramadan di kawasan Batu Danau pada Sabtu.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau merangkap Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS Cawangan Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang yang turut hadir bagi menyantuni penduduk serta menyampaikan sendiri sumbangan bubur manis kepada penerima.
Program Jerayawara Agihan Bubur Manis sempena Ramadan anjuran SABERKAS Cawangan Batu Danau merupakan satu inisiatif yang mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan semangat Ramadan dengan amalan bersedekah, malah ia juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Melalui inisiatif sebegini, ia memperlihatkan keprihatinan SABERKAS dalam membantu golongan yang memerlukan serta memastikan nilai kebersamaan terus dipupuk dalam komuniti setempat. -EDISI UKAS