BETONG: Dua projek menaik taraf jalan utama di Betong kini bermula secara rasmi selepas majlis pecah tanah dianjurkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada Sabtu.
Projek yang terlibat adalah Jalan Mara/Jalan Selangking/Nanga Sela di Tanjung Paoh serta Jalan Spaoh Spur, yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kedua-dua projek ini bertujuan meningkatkan akses dan keselesaan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.
“Jalan Mara/Jalan Selangking/Nanga Sela di Tanjung Paoh akan dinaik taraf daripada jalan berbatu dan konkrit sepanjang 10 kilometer kepada jalan bertar dengan peruntukan sebanyak RM16 juta.
“Manakala projek Jalan Spaoh Spur pula akan melibatkan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 10.5 kilometer kepada piawaian JKR R3 dengan kos sebanyak RM20.4 juta,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah bagi projek menaik taraf Jalan Spaoh Spur.
Bagi memastikan projek ini berjalan mengikut jadual, JKR Sarawak memperkenalkan langkah baharu, di mana kontraktor yang gagal mencapai sasaran kemajuan dalam tempoh 30 hari boleh ditamatkan kontraknya.
“Sebelum ini tempoh yang diberi adalah 100 hari, namun kini dipendekkan kepada 30 hari bagi memastikan projek tidak tertangguh.
Kontraktor juga wajib memulakan kerja di tapak dalam tempoh 30 hari selepas projek diserahkan kepada mereka,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa polisi ini bukan untuk menyusahkan kontraktor, tetapi bagi memastikan setiap projek infrastruktur yang telah diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas, Pengarah JKR Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris dan Jurutera JKR Bahagian Betong, Jason Ng Boon Tuan.
Dengan bermulanya projek ini, penduduk Betong bakal menikmati jalan yang lebih baik dan selesa dalam tempoh kurang dua tahun. - EDISI UKAS