Keterangkuman Sarawak Ditekan Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib

Disiarkan pada 08 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sentiasa menekankan keterangkuman di negeri ini.

 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keterangkuman dari segi kaum, agama dan latar belakang sosial serta ekonomi menjadi fokus Almarhum semasa pentadbiran beliau.

 

“Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib sentiasa menekankan kepada pengurangan ketidaksamaan, luar bandar dan bandar dan dalam pelbagai lapisan masyarakat. 

 

“Selain itu, Almarhum turut menitikberatkan kesaksamaan jantina, kepentingan pendidikan berkualiti, pendidikan awal kanak-kanak, keamanan, keadilan dan keluarga yang kukuh serta institusi budaya,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Penghargaan kepada Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

 

Menurutnya, prinsip-prinsip ini digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang Almarhum gunakan semasa memilih calon DUN atau sebagai Ahli Parlimen.

 

Jelasnya lagi, rakyat Sarawak akan sentiasa berterima kasih atas kemahuan politik Almarhum dalam menambah bilangan wakil politik wanita Sarawak sama ada di DUN atau di Parlimen. -EDISI UKAS