MIRI: Velosolutions Pump Track @ Taman Bulatan Miri kini rasmi menjadi trek berbasikal lasak pertama di Malaysia, sekali gus menandakan era baharu dalam perkembangan sukan ekstrem di negara ini.
Trek bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja meletakkan Miri dalam komuniti global Velosolutions Pump Track, tetapi juga membuka peluang besar bagi atlet tempatan untuk bersaing di pentas dunia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, menyifatkan kejayaan pembinaan projek ini sebagai pencapaian penting bagi Sarawak.
“Velosolutions Pump Track ini bakal menjadi daya tarikan utama sukan berbasikal lasak di Miri dan Sarawak.
“Kami berharap dengan adanya trek ini, lebih ramai atlet tempatan dapat dilahirkan dan berpeluang bersaing di peringkat antarabangsa seperti Kejohanan Dunia Pump Track UCI Red Bull,” katanya ketika merasmikan trek tersebut pada Sabtu.
Dibina dengan kos RM600,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), trek ini mula dibangunkan pada 11 November 2024 dan siap sepenuhnya pada Disember 2024.
Direka mengikut piawaian antarabangsa, ia merupakan trek ke-1,187 di dunia dan yang pertama di Malaysia.
Pembinaannya melibatkan kerjasama wakil Velosolutions, Vince Yong, serta syarikat kontraktor utama, Ellu Bersatu, yang diketuai oleh Zulkifflee Suan.
Sejak siap sepenuhnya, trek ini telah menarik minat komuniti berbasikal dari dalam dan luar negara, termasuk Brunei serta Kuching.
Malah, ia juga bakal menjadi tuan rumah bagi pertandingan berprestij pertama pada Mei 2025, yang dijangka mengukuhkan kedudukan Miri sebagai destinasi utama pelancongan sukan ekstrem.
Selain berfungsi sebagai pusat latihan untuk atlet tempatan, trek ini turut dijadikan model untuk pembinaan kemudahan serupa yang lebih besar di Kuching pada masa akan datang.
Inisiatif ini selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak dalam menggalakkan gaya hidup sihat serta memajukan sektor pelancongan sukan sebagai pemacu ekonomi negeri.
Dengan pelancaran rasmi ini, Velosolutions Pump Track Miri bukan sahaja mencipta sejarah sebagai trek pertama di Malaysia, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam perkembangan sukan berbasikal lasak di peringkat nasional dan antarabangsa. - EDISI UKAS