MIRI: Ibu bapa diseru terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha Kolej Vokasional (KV) Miri di samping membina hubungan baik dengan warga pendidik demi manfaat anak-anak mereka.
Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) KV Miri James Jilin berkata, hal ini selaras dengan dasar kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan melalui penglibatan ibu bapa, selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang ditawarkan oleh KV Miri.
“Diharapkan kerjasama strategik antara ibu bapa, pendidik dan pelajar dapat terus diperkukuh dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Mesyuarat Agung Tahunan PIBG dan Anugerah Akademik Sesi 2/2024 serta Hari Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru 2025 yang berlangsung di Dewan Permata, KV Miri pada Sabtu.
Dalam pada itu, Pengarah Kolej Vokasional Miri John Atong ketika berucap menyatakan, kerjasama erat antara ibu bapa dan warga pendidik menjadi elemen penting dalam memastikan visi dan misi KV Miri dapat direalisasikan secara holistik, selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Ujarnya, kecemerlangan pelajar bukan sahaja terletak pada pencapaian akademik semata-mata, malah melibatkan pembangunan sahsiah, kemahiran, keusahawanan dan inovasi yang hanya dapat dicapai melalui sokongan padu daripada kedua-dua pihak – ibu bapa dan tenaga pengajar
“Kejayaan anak-anak merupakan hadiah paling berharga buat ibu bapa. Oleh itu, peranan ibu bapa bersama tenaga pendidik amat penting dalam mencungkil serta menggilap potensi pelajar,” tegas beliau.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Akademik kepada pelajar cemerlang sesi 2/2024 sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan usaha mereka.
Dalam masa yang sama, Hari Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru membuka ruang interaksi antara ibu bapa dan pensyarah bagi membincangkan kemajuan akademik serta hal-hal berkaitan pelajar. -EDISI UKAS