NADI Kampung Sampat Sebangan Tingkatkan Akses Maklumat Digital Komuniti Setempat

Disiarkan pada 15 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Penduduk Kampung Sampat Sebangan kini mempunyai akses lebih luas kepada maklumat digital dengan perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) pada Sabtu.

Majlis perasmian Digital NADI Kampung Sampat itu telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pusat NADI sebagai platform yang menyediakan akses kepada maklumat terkini, latihan teknologi digital serta pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.

Beliau juga menggalakkan penduduk setempat, khususnya golongan belia dan usahawan untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial mereka.

"Pusat NADI bukan sekadar tempat mendapatkan maklumat, tetapi juga menjadi pusat pembelajaran dan interaksi yang boleh membantu masyarakat mendepani cabaran era digital," katanya.

Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer, internet berkelajuan tinggi, serta ruang untuk sesi latihan dan bengkel.

Antara program yang dirancang termasuk kursus literasi digital, keusahawanan dalam talian, dan ceramah kesedaran sosial.

Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Syed Mohd Fauzi Shahab, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority, Dato Dr.Anderson Tiong Ing Heng, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Sarawak, Adiman Ajem, Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang dan Pengurus NADI Kampung Sampat Sebangan, Nur Azwa Izzatty Salleh. -EDISI UKAS