SARIKEI: Persiapan bagi penganjuran Festival Sarikei 2025 yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 11 Mei 2025 kini giat dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Petugas Pelancongan (DTTG) Bahagian Sarikei yang diadakan di Pejabat Residen Sarikei pada Khamis.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong turut dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Daerah Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan serta ketua-ketua jabatan dan agensi berkaitan.
Menurut Datu Michael Ronnie, festival ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi juga satu inisiatif penting dalam memperkenalkan Sarikei sebagai ‘Food Basket of Sarawak’ serta menarik lebih ramai pelancong ke bahagian ini.
“Kerjasama erat antara semua agensi berkaitan amat penting bagi memastikan kejayaan festival ini.
“Kami ingin memastikan program yang dirancang bukan sahaja menarik, tetapi juga dapat memberi impak positif kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan,” katanya.
Mesyuarat ini turut membincangkan komponen aktiviti serta agensi yang bertanggungjawab dalam penganjuran acara festival berkenaan.
Pelbagai program berkonsepkan gastronomi, kebudayaan, dan pelancongan dijangka dimasukkan dalam festival ini bagi menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Sebagai langkah susulan, satu lagi mesyuarat akan diadakan pada April 2025 untuk membincangkan perkembangan laporan daripada agensi-agensi berkaitan.
Mesyuarat berakhir dengan sesi perbincangan dan maklum balas daripada ahli jawatankuasa bagi memastikan Sarikei Festival 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.-EDISI UKAS