SIBU: Surau Pusat Islam Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Islam UTS dan Persatuan Wanita UTS telah mengadakan program pengagihan bubur lambuk di hadapan Surau Darul Islam, Jalan Bandong, petang Khamis.
Sebanyak 400 pek bubur lambuk telah diedarkan kepada orang ramai yang melalui kawasan tersebut sebagai inisiatif menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr. Khairuddin Abdul Hamid, program ini merupakan salah satu usaha universiti dalam mengeratkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat setempat.
Sementara itu, beliau turut memuji Persatuan Wanita UTS, yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Datin Dayang Mariani Abang Zain, kerana berjaya menjayakan program tersebut dengan bergotong-royong memasak bubur lambuk.
Selain pengagihan bubur lambuk, Surau Pusat Islam UTS dan Persatuan Mahasiswa Islam UTS juga akan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih pada sebelah malamnya di Surau Pusat Islam UTS.
“Pada majlis itu nanti, pihak Surau Pusat Islam UTS turut akan menyampaikan sumbangan kepada asnaf bagi membolehkan mereka merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program tahunan ini bukan sahaja melibatkan pengagihan bubur lambuk, malah 300 bekas bubur pedas turut diagihkan kepada masyarakat setempat serta warga UTS sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan universiti.
Program pengagihan bubur lambuk ini bukan sekadar tradisi Ramadan, tetapi juga simbol perpaduan dan kebersamaan antara institusi pendidikan dan masyarakat dalam menyemarakkan semangat memberi sepanjang bulan mulia ini.-EDISI UKAS