DARO: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Daro menyasarkan untuk mengagihkan sebanyak 8,000 pek bubur lambuk kepada masyarakat setempat pada tahun ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, agihan ini akan dilaksanakan menerusi 10 unit Saberkas yang melibatkan 10 buah kampung di sekitar kawasan Daro sepanjang bulan Ramadan ini.
“Kita telah menyasarkan 8,000 pek bubur lambuk akan diagihkan, kita mempunyai 10 buah unit dan ianya melibatkan 10 buah kampung yang ada di tanah besar Daro.
“Sekurang-kurangnya setiap unit akan mengagihkan 800 pek bubur lambuk di setiap kampung masing-masing. Kita juga telah sediakan jadual pengagihan disetiap kampung menerusi Saberkas unit.
“Program ini adalah sebahagian daripada usaha Saberkas untuk menyemarakkan semangat kebersamaan dan membantu golongan yang memerlukan, terutamanya dalam bulan Ramadan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Cawangan Daro di Perkarangan Surau Darul Makmur Kampung Itol, Daro pada Khamis.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Saberkas Negeri Sarawak turut menyeru semua pihak untuk terus menyokong program-program kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh SABERKAS bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat yang sewajarnya.
“Program Agihan Bubur Lambuk ini saban tahun kita Saberkas laksanakan telah menjadi sinonim setiap kali hadirnya bulan Ramadan dan ianya juga menjadi wadah para belia bekerjasama dengan pihak JKKK Kampung dan NGO di kampung masing-masing,” ujar beliau.
Selain daripada pelancaran bubur lambuk, Saberkas Daro juga telah menyampaikan 100 bakul makanan kepada asnaf-asnaf yang memerlukan.
Penyampaian bakul makanan tersebut adalah sebahagian daripada usaha Saberkas untuk meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik dalam menghadapi bulan Ramadan.
“Bakul makanan ini diharap dapat membantu meringankan sedikit beban mereka, khususnya dalam menyambut bulan yang penuh berkah ini,” tambah Safiee.
Hadir sama wakil Pegawai Daerah Daro Yusuf Hossen, Pemanca Lau Oi Peng, Penghulu Abu Bakar Salleh, KK Hamran Badong dan Pengerusi JKP Surau Darul Makmur Wahad Kawi, ketua-ketua dan wakil-wakil jabatan serta ketua-ketua kampung. - EDISI UKAS