SUKMA 2024: Kerajaan Sarawak Tingkat Keselamatan Atlet

Disiarkan pada 08 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk meningkatkan keselamatan para atlet Sarawak khususnya yang akan mengambil bahagian dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 pada Ogos nanti.
 
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah tersebut diambil susulan kes serangan terhadap pemain bola sepak negara yang berlaku baru-baru ini.
 
Pada masa sama, beliau mengingatkan para atlet negeri untuk berwaspada di mana-mana sahaja mereka berada.
 
“Kita tidak tahu kita diperas ugut dengan orang yang dengki...dalam sukan kadang-kadang mungkin kita tidak tahu mungkin ada yang menjudikan sukan itu.
 
“Ia mungkin boleh menyebabkan mereka mengambil satu langkah di luar jangkaan menyebabkan kerugian atau kekalahan bagi mereka,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Temubual Eksklusif Selamat Pagi Malaysia di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.
 
Dato Sri Abdul Karim menambah, keselamatan di setiap venue pada SUKMA XXI Sarawak 2024 nanti juga akan dipantau bagi memastikan keselamatan atlet selain tidak menjejaskan imej penganjuran temasya dwitahunan itu nanti.
 
Menyentuh lanjut mengenai persediaan SUKMA XXI Sarawak 2024, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, kerajaan negeri sedang giat menyiapkan venue dewan wushu, kriket dan perkampungan sukan atlet-atlet Sarawak.
 
Katanya, semua venue tersebut dijadual siap sepenuhnya pada Julai nanti.
 
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.-EDISI UKAS