16 Pesara, Bekas Polis Dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara

Disiarkan pada 13 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Seramai 16 individu, terdiri daripada pesara dan bekas anggota polis, telah dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dalam satu majlis penuh penghormatan di Dewan Serbaguna IPD Bintulu pada Khamis.

Penganugerahan ini bertujuan menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan serta kebaktian mereka dalam mempertahankan keamanan negara.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt. Nixon Joshua Ali, bersama Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Mohd Fazri dan Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, ASP Johnny hadir untuk menyampaikan pingat kepada para penerima.

Lebih signifikan, majlis ini turut menyaksikan beberapa waris hadir menerima pingat bagi pihak anggota yang telah tiada, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada negara.

Selain mengiktiraf jasa bekas anggota keselamatan, majlis ini juga menjadi simbol solidariti antara masyarakat dan pihak polis, sekali gus menyuntik semangat juang kepada generasi baharu dalam meneruskan perkhidmatan dengan lebih cemerlang.-EDISI UKAS