BINTULU: Yayasan Bintulu Port meneruskan inisiatif kebajikan melalui program Jalinan Kasih Ramadan – Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim, Murid B40 dan Mualaf yang berlangsung meriah di Grand Millennium Ballroom, Parkcity Everly Hotel, pada Rabu.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Seramai 150 penerima terdiri daripada anak-anak yatim, murid daripada keluarga B40 serta saudara baru yang pertama kali menyambut Hari Raya.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee serta barisan kepimpinan dan wakil-wakil agensi berkaitan.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Bintulu Port serta semua pihak yang menjayakan program ini.
“Program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa tetapi juga inisiatif penting dalam membantu golongan memerlukan, khususnya menjelang Aidilfitri,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan masyarakat terhadap anak-anak yatim dan saudara baru agar mereka dapat merasai kemeriahan Ramadan dan Syawal seperti orang lain.
Program ini menyaksikan penyampaian sumbangan kepada penerima dari beberapa pertubuhan, termasuk Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Bintulu, 50 saudara baru dari Persatuan Kebajikan Tiong Hua Bintulu dan MACMA serta 100 murid dari 12 sekolah sekitar Bintulu.
Selain majlis berbuka puasa, program turut disertakan dengan sesi tazkirah Ramadan, solat berjemaah, serta penyampaian sumbangan Hari Raya.
Inisiatif ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu golongan memerlukan serta mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat.
Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Ruslan Abdul Ghani.-EDISI UKAS