TEBEDU: Bandar Mutiara Tebedu yang terkenal di kalangan masyarakat, bakal melalui fasa transformasi besar-besaran dengan pelbagai projek pembangunan bertujuan menarik lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara yang dijangka akan meningkatkan taraf sosio-ekonomi serta pendapatan penduduk di Daerah Tebedu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada yang telah lama berhasrat untuk menaikkan taraf Bandar Mutiara Tebedu telah mengusulkan penubuhan Hab Ekonomi dan Budaya Tebedu yang akan dikendalikan oleh Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dan dijangka menelan belanja sekitar RM50 juta.
Dengan pelaksanaan projek ini, beliau yakin bahawa Bandar Mutiara Tebedu akan menjadi sebuah bandar yang lebih maju setanding dengan perkembangan bandar Serian.
"Sebelum ini, Bandar Mutiara Tebedu terkenal dengan nama dan sejarahnya, namun untuk memajukan lagi kawasan ini, kita perlu menaik tarafnya kepada satu tahap yang lebih tinggi.
“Saya berharap projek ini bukan sahaja meningkatkan sosio-ekonomi tetapi juga memberi peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk setempat," kata Dr. Simon Sinang ketika mempengerusikan sesi dialog bersama pemilik tanah di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tebedu, pada Rabu.
Difahamkan, projek ini dijangka bermula pada tahun 2026 dan siap sepenuhnya pada tahun 2028.
Sebagai sebahagian daripada projek tersebut, dua buah syarikat telah menyatakan minat mereka untuk membina kilang di kawasan tapak industri di Bandar Mutiara Tebedu yang membuka lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Selain itu, kewujudan kilang-kilang ini, serta peluang pekerjaan yang ditawarkan akan membantu mengurangkan penghijrahan golongan muda ke Kuching atau ke luar negara mencari pekerjaan.
“Ini juga akan mengurangkan kebergantungan terhadap pusat bandar dan memberikan lebih banyak pilihan kerjaya serta peluang ekonomi kepada penduduk di sini,” tambahnya lagi.
Dengan penubuhan Hab Ekonomi dan Budaya Tebedu, ia bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan, tetapi juga berpotensi menjadi daya tarikan baru bagi pelancong yang ingin menyaksikan keunikan budaya dan sejarah Tebedu, tambah beliau.
Turut hadir pada sesi dialog tersebut ialah Pengusaha Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Serian Abdul Khalil Amit, Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar, Pegawai GKCDA Claire Sous serta Pemanca Kane Manung. -EDISI UKAS