MUKAH: Sebanyak 30 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) akan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan mengikut keutamaan di kawasan DUN N.58 Balingian bagi tahun 2026.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, RTP memang menjadi salah satu inisiatif kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang penting bagi memperkasakan masyarakat luar bandar.
Katanya, RTP membantu memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di bandar tetapi juga sampai ke kawasan luar bandar seperti di kawasan DUN Balingian.
“Bagi memastikan pembangunan yang seimbang, Projek RTP mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di Sarawak.
“Dan setiap projek RTP yang dilaksanakan, melibatkan rakyat dan ketua masyarakat dalam perancangan boleh memastikan keutamaan yang lebih tepat,”ujar beliau dalam ucapannya semasa Mini Lab Cadangan Projek RTP 2026 Daerah Mukah yang diadakan di Menara Pehin Setia Raja Mukah pada Rabu.
Sesi perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip.
Jelas Abdul Yakub lagi, projek-projek yang dilaksanakan untuk menyumbang kepada kualiti hidup rakyat dari segi ekonomi, sosial, dan kesejahteraan umum.
“Keberkesanan dan impak projek, seharusnya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan tidak sekadar projek 'gajah putih’,” tegasnya.
Menurutnya lagi, kerjasama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan penduduk penting untuk memastikan kelangsungan manfaat projek.
Dengan pelaksanaan yang baik dan pemantauan ketat, projek-projek RTP katanya akan terus memberi impak positif kepada rakyat di DUN Balingian, membolehkan mereka menikmati kemudahan yang sewajarnya rakyat di DUN Balingian dapat menikmati manfaat pembangunan yang lebih mampan dan inklusif.
Turut hadir dalam Mini Lab tersebut ialah ADUN Tellian Royston Valentine dan agensi-agensi pelaksana. - EDISI UKAS