SEBUYAU: Seramai 192 penerima terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas menerima sumbangan sempena Program Ihya Ramadan: Santuni Asnaf yang berlangsung di Masjid Al-Muflihin, Sebuyau pada Selasa.
Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muflihin dan Pejabat Daerah Sebuyau ini bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli yang turut meluahkan harapan agar bantuan yang diberikan dapat membantu penerima menikmati Ramadan dengan lebih selesa.
“Semoga sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada penerima, bukan sahaja untuk persiapan Ramadan, malah sebagai persediaan menyambut Syawal nanti,” katanya dalam ucapan perasmian.
Seramai 230 hadirin termasuk wakil-wakil masyarakat tempatan turut serta dalam program ini.
Antaranya ialah Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pemanca Asli Yahya serta Penghulu Abu Seman Suhaili yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muflihin.
Majlis diakhiri dengan sesi berbuka puasa beramai-ramai sebelum hadirin menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.-EDISI UKAS