122 Asnaf di DUN Sebuyau Terima Sumbangan Ramadan

Disiarkan pada 12 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


SEBUYAU: Seramai 122 asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau menerima sumbangan sempena Program Ihya Ramadan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar pada malam Selasa.

Majlis yang berlangsung di Masjid Darul Aman, Sebangan, menyaksikan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan kepada para penerima bagi meringankan beban mereka dalam menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

Menurut Mohamad Shafizan, program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu golongan memerlukan di kawasan Parlimen Batang Lupar.

“Bantuan ini bukan sahaja untuk meringankan beban penerima, tetapi juga sebagai tanda keprihatinan kepada mereka yang kurang berkemampuan agar dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan lebih bermakna,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Program Ihya Ramadan tahun ini telah dimulakan di DUN Lingga, diikuti DUN Sebuyau dan akan diteruskan ke DUN Beting Maro dalam masa terdekat.

Majlis diakhiri dengan sesi moreh dan ramah mesra antara para jemaah, mencerminkan semangat kebersamaan dalam menyambut bulan penuh keberkatan ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Aman Sebangan Yaman Madian serta Penghulu Abdul Hamid Zaini bersama ketua-ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS