SADONG JAYA: Lebih 200 keluarga kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya menerima sumbangan bakul makanan daripada Yayasan Petronas dalam program Santuni Madani Ramadan: Petronas Memacu Kehidupan Aidilfitri di Masjid Darul Falah pada Selasa.
Program anjuran Yayasan Petronas dengan kerjasama Perkhidmatan Tadbir Diplomatik Wilayah Sarawak ini turut menyaksikan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung yang bersama-sama menyediakan 150 pek bubur lambuk sebelum mengagihkannya kepada pengunjung Bazaar Ramadan Panggung Udara Sadong Jaya.
Menurut Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, program seperti ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi juga memperkukuhkan hubungan masyarakat melalui semangat tolong-menolong dan kebersamaan.
“Saya bersyukur melihat sambutan yang sangat baik daripada penduduk kampung.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga mengeratkan hubungan antara masyarakat dan pemimpin setempat,” katanya selepas mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung bazar.
Selain itu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo turut meluangkan masa berbuka puasa bersama penduduk kampung dan menunaikan solat sunat tarawih di masjid berkenaan.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Petronas atas inisiatif membantu golongan memerlukan serta berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang memerlukan, terutama menjelang Aidilfitri. Saya berharap usaha ini diteruskan bagi memastikan lebih ramai golongan asnaf mendapat manfaat,” katanya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengurus Besar Petronas Sarawak Norazibah Md Rabu, Pegawai Agama Islam Samarahan Bahrin Kawi serta pemimpin tempatan termasuk Pemanca Sholeh Kemis.-EDISI UKAS