SIBU: Seramai 60 keluarga pelajar kurang berkemampuan sekitar kawasan Sibu menerima sumbangan bakul makanan daripada Universiti Teknologi Sarawak (UTS) melalui acara amal ‘Nourishing Hope Through Kindness’.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik) UTS Profesor Dr Mohammad Shahril Osman, sumbangan tersebut akan dihantar oleh sukarelawan UTS ke rumah penerima masing-masing sehingga 16 Mac kelak.
“Pada hari ini, kita mengadakan satu majlis di mana sumbangan akan diberikan kepada 60 pelajar dalam bentuk barangan makanan asas untuk keperluan mereka khususnya pada bulan Ramadan ini.
”Inisiatif ini dianjurkan oleh kakitangan UTS dari Sekolah Pengkomputeran dan Media Kreatif (SCM), Sekolah Perniagaan dan Pengurusan (SBM) serta Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi (SET),“ katanya dalam sidang media Program "Nourishing Hope Through Kindness Charity Even 2025', di sini pada Selasa.
Pakej bantuan makanan yang bernilai RM100 setiap satu itu mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, makanan dalam tin dan mi segera.
Beliau turut menghargai kerjasama daripada Hijrah Suri, yang bertanggungjawab dalam pembelian, pengurusan dan pembungkusan bekalan makanan untuk diagihkan.
“Program ini bukan sekadar memberi bantuan, tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sosial.
"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menginspirasi lebih ramai individu dan organisasi untuk turut serta dalam khidmat masyarakat,” tambahnya.-EDISI UKAS