SARATOK: Dalam usaha menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri turun padang melawat Bazar Ramadan Saratok yang diadakan di Dewan Terbuka Sri Kalaka, pada Isnin.
Dengan lebih 80 gerai jualan yang disediakan oleh Majlis Daerah Saratok, bazar ini menjadi platform penting bagi peniaga kecil dan usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan sepanjang bulan Ramadan.
Mohamad Duri tidak hanya melawat gerai-gerai jualan, tetapi turut berinteraksi dengan peniaga bagi memahami cabaran serta keperluan mereka.
Menyedari kepentingan sokongan berterusan, beliau turut mengagihkan apron dan topi kepada setiap pemilik gerai sebagai simbol komitmen terhadap kebersihan dan profesionalisme dalam perniagaan makanan.
“Bazar Ramadan bukan sekadar tempat berniaga, tetapi juga peluang bagi peniaga kecil untuk memperluaskan jaringan pelanggan mereka.
"Kita mahu mereka beroperasi dalam suasana yang kondusif dan bersih, sekaligus menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.
Selain itu, faktor kebersihan turut diberi perhatian serius dengan pemantauan harian oleh pihak berkuasa bagi memastikan persekitaran yang selamat dan selesa untuk semua.
Lawatan ini mencerminkan komitmen ADUN Kalaka dalam menyokong peniaga tempatan serta memperkasakan ekonomi komuniti, selari dengan usaha membangunkan sektor perniagaan kecil di Saratok.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Pegawai Daerah Saratok Mohd Dino Amit, Setiausaha Majlis Daerah Saratok McCrea Joseph Parerra serta beberapa pegawai dan tetamu jemputan.-EDISI UKAS