SARIKEI: Seramai 17 orang pemilik tanah dan peserta skim uji kaji penanaman padi di Sungai Bapak Kampung Rajang telah menerima pembayaran awal sebahagian sewa tanah untuk skim berkenaan berjumlah RM28,800 pada 7 Mac lalu dalam Majlis Jelajah Ramadan DUN Kuala Rajang di Kampung Rajang.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, selepas tiga pusingan tanaman telah diusahakan, keseluruhannya hampir RM90,000 telah dibayar kepada pemilik tanah sebagai menerima bayaran sewa tanah.
Menurutnya, Lembaga Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) berperanan sebagai perantara antara warga kampung dan Padihead Sdn. Bhd. serta selaku penyelaras program.
Jelasnya, skim penanaman padi ini adalah kerjasama antara LAKIKR, Kumpulan Ta Ann dan pemilik tanah tempatan bertujuan untuk menjadikan Delta Rajang sebagai salah satu pengeluar beras utama di Sarawak.
Datuk Len menambah, seramai 17 orang peserta dengan 25 lot tanah berkeluasan 135 ekar akan diusahakan oleh Padihead Sdn Bhd dengan kerjasama LAKIKR bagi menjayakan skim penanaman padi ini.
Beliau berkata demikian semasa Jelajah Ramadan hari kelima untuk berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Ar Rahmah, Kampung Seberang Sarikei pada Selasa.
Tambahnya lagi, fasa pertama projek membabitkan sebanyak 82.1 ekar tanah, dengan 15.7 ekar sudah ditanam padi pada Januari 2024 lepas.
Kerajaan Sarawak katanya lagi juga telah menyediakan subsidi sebanyak RM50 juta untuk Skim Takaful Tanaman Padi bagi melindungi pesawah.
Difahamkan, uji kaji pertama penanaman padi di Sungai Bapak telah dijalankan sejak Oktober 2023 yang lepas.
Selain memberi pendapatan kepada pemilik tanah yang terbiar hampir 50 tahun, inisiatif tersebut juga bertujuan menyokong usaha Kerajaan Sarawak untuk mencapai keterjaminan makanan.
Pada majlis tersebut, Datuk Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM28,950 kepada seramai 579 penerima bantuan, yang terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, asnaf dan anak yatim di kawasan ini.
Seterusnya, beliau ke Masjid Darul Sa’adah di Susur Jambu Indah, Sarikei untuk menunaikan solat Isyak dan Terawih bersama jemaah dan berkesempatan menyampaikan sumbangan serupa kepada 282 penerima dengan jumlah RM14,100.
Secara keseluruhan, jumlah sumbangan yang disalurkan adalah RM43,050.
Hadir sama pada majlis ialah Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua-ketua Kaum di Sarikei. - EDISI UKAS