KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar berkenan meluangkan masa berbuka puasa bersama warga Markas Medan Timur, di sini pada Selasa.
Ketibaan beliau bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi, Kem Penrissen, Batu 8 disambut oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD) Leftenan Jeneral Dato Mohd Sofi
Md Lepi dan isteri Datin Erni Irawati Rosli.
Majlis ini merupakan acara tahunan yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan pemimpin negeri serta masyarakat setempat sempena bulan Ramadan.
Mengiringi Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Komander Rejimen 510 Askar Wataniah Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Amar Baduyah Bujang.
Dalam majlis tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi diberi penghormatan untuk menyampaikan sumbangan kepada lima orang anggota tentera dan anak yang menghidapi penyakit kronik, tiga orang golongan asnaf dan sumbangan kepada lima saudara baharu yang memeluk Islam pada tahun 2024.
Turut disampaikan ialah sumbangan kepada penghuni Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah, terdiri daripada enam lelaki dan 19 perempuan.
Majlis disusuli dengan acara berbuka puasa dan diikuti dengan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah sebelum menikmati jamuan moreh.
Hadir sama Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Dato Khairul Anuar Abdul Aziz dan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata. - EDISI UKAS