Safari Ramadan HIKMAH 1446H Meriah di Bintulu, Sumbangan Disalur kepada Golongan Memerlukan

Disiarkan pada 11 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS



BINTULU: Program Safari Ramadan HIKMAH 1446H/2025M anjuran HIKMAH Sarawak berlangsung meriah di dua lokasi berasingan di Bintulu, iaitu di Surau Al-Muhajirin, Kampung Jepak, serta di Pusat Komuniti Islam Kampung Penan Muslim, Luak Batu 12 pada Isnin.

Majlis pertama yang berlangsung pada tengah hari di Surau Al-Muhajirin dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Saimon Killa, diikuti dengan tazkirah ringkas oleh Pengurus Dakwah HIKMAH, Al-Fadhil Ustaz Sarbini Dahlan.

Penghulu Kampung Jepak, Idil Ismail, turut memberikan ucapan aluan sebelum majlis diteruskan dengan amanat daripada Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said.

Kemuncak acara menyaksikan penyerahan simbolik sumbangan kepada golongan memerlukan oleh Naib Yang Dipertua HIKMAH, Toh Puan Hayati Ahmat.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH Alwi Morshidi, Setiausaha Agung HIKMAH Raihan Usop, barisan pimpinan Ahli Majlis Tertinggi HIKMAH serta para imam dan kariah surau.

Sementara itu, pada sebelah petang, program diteruskan di Pusat Komuniti Islam Kampung Penan Muslim, Luak Batu 12.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Saimon Killa dan tazkirah ringkas oleh Ustaz Sarbini Dahlan.

Di samping itu, Ketua Kaum Manis Mohidi menyampaikan ucapan aluan sebelum penyerahan simbolik sumbangan oleh Datuk Nurlaila Said kepada penerima.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Naib Yang Dipertua HIKMAH Toh Puan Hayati Ahmat, Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH Alwi Morshidi, serta rombongan Mahasiswa Institut daripada Tabung Haji Sarawak.

Kehadiran Jawatankuasa Ranting, staf cawangan HIKMAH Bintulu, para kariah, serta penerima sumbangan turut memeriahkan suasana.

Rombongan Team Safari Ramadan HIKMAH turut berkesempatan berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama penduduk setempat.

Program Safari Ramadan HIKMAH ini merupakan inisiatif tahunan dalam mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti kebajikan dan keagamaan.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang termasuk rakan sinergi, badan korporat dan para dermawan individu yang menjayakan program ini.-EDISI UKAS