ADUN Demak Laut Santuni Anak-Anak Yatim Dalam Majlis Solat Isyak dan Tarawih

Disiarkan pada 11 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni telah menyantuni anak-anak yatim dari Taman Sepakat Jaya, Demak Laut dalam satu majlis Solat Isyak dan Solat Tarawih yang berlangsung di Surau Taman Sepakat Jaya, Jalan Bako pada Jumaat lepas.

Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan anak yatim, beliau telah menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan kain baju Melayu kepada 14 orang anak yatim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut itu berharap sumbangan ini dapat menceriakan mereka dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

"Program sumbangan kepada anak-anak yatim ini akan diteruskan di kampung-kampung sekitar kawasan Demak Laut sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini," katanya.

Tambahnya, program ini juga akan dilaksanakan bersama-sama solat berjemaah yang meliputi Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih. -EDISI UKAS