MOTS Bekerjasama Dengan JPJ Sarawak Tingkat Keselamatan Jalan Raya

Disiarkan pada 08 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak bagi memastikan keselamatan para pengguna jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil memberitahu, kementeriannya bersama JPJ Sarawak dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak turut bekerjasama bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi oleh semua pengguna jalan raya.

“Ini termasuk syarikat terlibat dan pemandu lori-lori besar yang membawa muatan berat seperti tanah,” jelasnya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Datuk Dr Jerip berkata, MOTS sering mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama JPJ Sarawak dan LPKP Sarawak dalam membincangkan isu berkaitan pemantauan pergerakan lori-lori besar yang boleh menyebabkan kerosakan dan menggugat keselamatan jalan raya.

“LPKP Sarawak telah menyenaraikan beberapa syarat yang perlu dipatuhi untuk memohon permit kenderaan perdagangan seperti kenderaan perdagangan wajib pada setiap masa membawa muatan mengikut spesifikasi, laluan dan berat dalam muatan di dalam permit yang diluluskan oleh LPKP.

“Lori-lori besar yang melalui Jalan Persekutuan di Sarawak juga perlu mematuhi Perintah Sekatan Berat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia,” ujarnya. -EDISI UKAS