SIBU: Bakal Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Wong Ching Yong tetap komited untuk terus berkhidmat kepada penduduk Dudong walaupun tidak menjadi ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Beliau telah berjaya memperoleh RM123 juta peruntukan untuk pembangunan kawasan DUN Dudong yang digunakan meliputi penambahbaikan jalan raya, kemudahan pendidikan, pinjaman perumahan untuk membina rumah panjang baharu serta pusat kebudayaan masyarakat.
"Antara projek utama termasuk penambahbaikan Jalan Pulau Dudong sepanjang 7.6 kilometer bernilai RM40 juta, yang mendapat sokongan Premier Sarawak dan diluluskan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
"Selain itu, SMK Dudong dan SK Dudong masing-masing menerima peruntukan RM30 juta, manakala 15 sekolah luar bandar menerima RM3 juta untuk membaiki kemudahan di sekolah mereka.
"Saya juga membantu pembinaan blok baharu Sekolah Menengah Persendirian Citizen yang terbakar pada Oktober 2020 dengan cawangan parti kami segera melancarkan kempen mengumpul dana yang berjaya mengumpul sebanyak RM1.26 juta," katanya berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa SUPP Cawangan Dudong dan Sibu Jaya yang berlangsung di sebuah restoran di sini pada Ahad.
Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
Selain itu, beliau juga berjaya membantu 22 rumah panjang mendapatkan pinjaman perumahan berjumlah RM12 juta dan memperoleh pembiayaan RM5.8 juta untuk Pusat Komuniti dan Kebudayaan Durin.
Dalam sektor keagamaan, beliau memperoleh RM1 juta untuk Gereja Methodist Wan Ming dan RM250,000 untuk Kuil Menyan Da Wang.
"Rancangan masa depan termasuk pembangunan kolam renang bertaraf Olimpik di Sibu Jaya dan mempromosikan pelancongan di sepanjang Batang Rajang dan melebarkan jalan dari pasar raya Farley ke SJK Kwong Kok.
"Inisiatif ini direka untuk meningkatkan lagi infrastruktur serantau dan potensi pelancongan," tegasnya.
Menurut beliau, sejak hari pertama menyertai SUPP Cawangan Dudong, walaupun berdepan dengan halangan seperti kehilangan pencalonan pada pilihan negeri dan kekalahan pada pilihan raya umum lalu, beliau tidak pernah berputus asa memperjuangkan lebih banyak pembiayaan dan pembangunan untuk kawasan ini.
"Melalui semangat untuk Sibu, ketabahan untuk Sibu, dan ketekunan untuk Sibu, saya akan terus berkhidmat kepada penduduk Dudong dengan sepenuh hati," tegasnya yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).
Wong juga merakamkan penghargaan khas kepada pusat parti dan Presiden Parti sambil mengakui sokongan tidak berbelah bahagi mereka amat penting dalam membantu cawangan Dudong dan Sibu Jaya mengatasi cabaran luaran yang ketara.
Selain upacara angkat sumpah, majlis ini turut meraikan hari jadi Penasihat SUPP Cawangan Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck ke-82 dan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting, Ketua Pemuda SUPP Pusat Kaunselor Kevin Lau, Ketua Wanita SUPP Pusat Kho Teck Wan, Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Jaya Kong Sing Ping, pengerusi jawatankuasa penganjur majlis Ivy Chieng serta para tetamu jemputan yang lain. - EDISI UKAS