MIRI: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh perpaduan dengan meluluskan peruntukan RM110 juta kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tahun 2025.
Dana ini akan digunakan untuk pembangunan dan penyelenggaraan rumah ibadat serta aktiviti keagamaan, termasuk bagi projek naik taraf Kuil Buddha di Bukit Kanada, Miri.
Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Sri Lee Kim Shin, semasa menghadiri Majlis Doa Selamat dan Upacara Sembahyang Kesejahteraan sempena Tahun Baru Cina 2025 (Tahun Ular) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Meditasi Buddha Miri baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan setiap kepercayaan mendapat ruang untuk berkembang, selari dengan dasar keharmonian antara agama yang menjadi kebanggaan Sarawak.
“Sarawak terkenal dengan masyarakat yang berbilang agama dan budaya yang hidup dalam suasana saling menghormati.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong pembangunan semua agama, termasuk melalui UNIFOR yang memastikan dana disalurkan secara adil kepada semua komuniti,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Kuil Buddha Bukit Kanada di Miri juga mendapat manfaat daripada peruntukan ini untuk tujuan naik taraf dan pembesaran, bukan sahaja bagi keperluan ibadat tetapi juga untuk mengukuhkan peranannya sebagai pusat pelancongan berasaskan budaya dan keagamaan di bandar ini.
Majlis yang dihadiri oleh ratusan penganut Buddha serta masyarakat setempat itu berlangsung dengan penuh keagungan, diisi dengan bacaan doa, nyanyian pujian serta sesi refleksi dan meditasi.
Dengan inisiatif ini, kerajaan Sarawak terus membuktikan komitmennya dalam memastikan keharmonian dan perpaduan antara masyarakat pelbagai kepercayaan terus dipelihara.-EDISI UKAS