IKBN Miri Lahirkan Tenaga Mahir Katering “Offshore”, Peserta Terima Tawaran Kerja

Disiarkan pada 11 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Seramai 20 peserta Program Bootcamp Offshore Catering Crew Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri kini bersedia melangkah ke alam pekerjaan selepas menamatkan latihan intensif dalam industri katering ‘offshore’.

Program anjuran IKBN Miri dengan kerjasama SOCC Offshore Sdn. Bhd. ini bukan sahaja membekalkan kemahiran praktikal tetapi turut membuka peluang kerjaya kepada peserta melalui penawaran sijil kompetensi dan tawaran pekerjaan.

Majlis Penutupan Program Bootcamp Offshore Catering Crew 2025 telah berlangsung di Bengkel Hospitaliti IKBN Miri dan dirasmikan oleh Pengarah IKBN Miri, Mohamad Mazlan Anis pada Isnin.

Dalam ucapannya, Mohamad Mazlan menekankan kepentingan program ini dalam memastikan belia memperoleh kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.

“Program ini bukan sahaja menawarkan latihan intensif dalam bidang katering luar pesisir, tetapi juga melengkapkan peserta dengan sijil kompetensi seperti Tropical Basic Offshore Safety Induction Emergency Training (T-BOSIET) + Compressed Air Emergency Breathing System (CA-EBS), Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dan Sijil Pengendalian Makanan.

“Ini memberi nilai tambah kepada peserta untuk bersaing dalam industri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa disiplin dan komitmen adalah kunci utama kejayaan dalam dunia pekerjaan.

“Dua elemen penting yang perlu diamalkan oleh peserta apabila memasuki industri ialah komitmen terhadap tugas serta disiplin yang tinggi.

“Ini adalah asas untuk berjaya dan berkembang dalam kerjaya masing-masing,” tambahnya.

Program Bootcamp Offshore Catering Crew berlangsung selama tujuh minggu, bermula pada 9 Februari hingga 30 Mac 2025.

Sepanjang tempoh ini, peserta menjalani latihan intensif di IKBN Miri dan latihan praktikal di Pullman Hotel Miri untuk meningkatkan kemahiran dalam penyediaan makanan serta asas “housekeeping”.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil tamat kursus kepada peserta, selain penyerahan surat tawaran kerja kepada mereka yang layak.

Kejayaan ini membuktikan keberkesanan program dalam membuka laluan kerjaya kepada belia, sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan Dasar Pembangunan Kemahiran Negara.

Dengan penyertaan percuma serta elaun latihan, inisiatif ini terbuka kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun yang berminat untuk membina kerjaya dalam industri berasaskan kemahiran.

Dalam pada itu, IKBN Miri dan SOCC Offshore bertekad untuk terus memperluaskan peluang latihan dan kerjasama dengan lebih banyak pihak industri demi manfaat belia negara.-EDISI UKAS