JKKK Penghubung Kerajaan & Masyarakat Setempat

Disiarkan pada 08 May 2024
Sumber Berita: UKAS


DARO: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan agen kerajaan di kawasan yang akan menjadi penghubung kerajaan dengan masyarakat setempat. 

Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, ahli JKKK harus peka terhadap masalah masyarakat di kawasan kerana setiap ahli JKKK telah diberi amanah untuk menjadi pengantara pihak kerajaan di akar umbi. 

Dalam hal ini katanya, Kerajaan Persekutuan juga prihatin terhadap JKKK dengan memperkenalkan program SejaTi Madani yang memperuntukkan RM100,000 kepada JKKK untuk melaksanakan Program Peningkatan Ekonomi di setiap kawasan masing-masing.

“Saya lihat Kerajaan Persekutuan prihatin terhadap JKKK supaya ianya dilihat relevan dan mempunyai satu pencapaian untuk membantu masyarakat di JKKK masing-masing. 

“Dengan peruntukan ini akan memberi peluang JKKK berkenaan merangka perancangan peningkatan ekonomi ahli mereka dan diberi tempoh enam bulan untuk hasil daripada program berkenaan.”

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Sesi Taklimat Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) Daerah Matu pada Selasa.

Program SejaTi Madani merupakan program yang membantu usahawan di kampung meningkatkan ekonomi mereka.

Pengerusi JKKK boleh mengemukakan kertas kerja kepada pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak berkenaan pelaksanaan program yang akan dilaksanakan oleh mereka.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Matu Zaraina Sahari, Penolong Pengarah Kanan Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Hafizah Hakim dan Pengerusi-Pengerusi JKKK Daerah Matu. -EDISI UKAS