TATAU: Jambatan Sungai Muput yang siap pembinaannya pada April lepas telah memberi manfaat kepada penduduk di 44 buah rumah panjang di kawasan Ulu Anap, Nanga Tau dan Penyarai.
Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan berkata, pembinaan jambatan itu bernilai RM2 juta itu berjaya disiapkan dalam tempoh tiga bulan mendahului jadual ditetapkan.
"Jambatan ini kini memudahkan perhubungan penduduk terutamanya dari kawasan Ulu Anap, Ulu Penyarai dan Muput yang meliputi 44 rumah panjang termasuk tiga sekolah dan dua klinik kesihatan di Nanga Tau dan di Nanga Penyarai,” katanya semasa lawatan kerja ke tapak projek di sini pada Isnin.
Sementara itu, Penghulu Michael Agul merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di atas pembinaan jambatan yang berjaya menyelesaikan masalah dihadapi oleh penduduk setempat di mana jambatan lama sering rosak dan dilanda banjir.
Selepas itu, Jabang bersama rombongan melawat tapak projek di bawah dana Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH) iaitu projek benteng tanah runtuh bagi Rumah Maong Anggat dan tapak projek naik taraf Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kelawit.
Beliau turut melawat projek pembinaan Astaka SK Kelawit yang di bawah Projek Khas Parlimen Selangau.
Hadir sama, Timbalan Residen Bintulu Abang Zainuddin Abang Turkey dan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu Ngu Tie Hua. -EDISI UKAS