Farley Kota Samarahan Raikan 50 Anak Yatim, Teguh Sokong Komuniti

Disiarkan pada 07 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Farley Kota Samarahan terus memperkukuh peranannya dalam komuniti dengan menganjurkan Majlis Sentuhan Kasih, satu inisiatif kemasyarakatan yang membawa kegembiraan kepada 50 anak yatim dari empat sekolah sekitar Bandar Samarahan.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim ini menyaksikan para penerima menerima baucar Hari Raya, kurma serta beg berisi barangan keperluan sebagai tanda keprihatinan dan kebersamaan.

Mereka terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Muara Tuang (20 orang), Sekolah Kebangsaan Jalan Muara Tuang (10 orang), Sekolah Kebangsaan Pangkalan Kuap (10 orang) dan Sekolah Kebangsaan Merdang (10 orang).

Majlis ini turut menjadi lebih bermakna dengan sambutan ulang tahun ke-10 Farley Kota Samarahan sejak penubuhannya.

Sepanjang sedekad ini, syarikat berkenaan telah menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui pelbagai inisiatif termasuk penyediaan peluang pekerjaan, memperindah landskap bandar, membina tandas awam, mewujudkan pondok polis, serta menyediakan tapak niaga bagi peniaga kecil.

Sementara itu, mewakili Farley Kota Samarahan, Eiyen Lau menyatakan pihaknya berbesar hati dapat membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Memberi kembali kepada masyarakat sentiasa menjadi misi kami dan pihak kami akan terus menyokong inisiatif yang memberi manfaat kepada penduduk Samarahan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud, Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia Peter J. Berinus Agang, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Setiausaha MPKS Gustian Durani, Ahli Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato’ Sim Kiang Chiok dan Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan Bahrin Kawi.-EDISI UKAS