PUSA: Penganjuran Program Jelajah Ihya Ramadan sangat penting dalam memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keistimewaan bulan suci ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata program ini bertujuan untuk mengeratkan masyarakat dan meraikan bulan yang penuh keberkatan ini.
"Ia juga memberi peluang kepada umat Islam untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan amalan seperti bersedekah, membaca Al-Quran dan Qiamulail,” katanya.
Program sebegini katanya bukan sahaja memperkukuh keimanan umat Islam tetapi juga menggalakkan amalan bersedekah serta mempereratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana penuh keberkatan.
Kongsinya ringkas pada Program Jelajah Ihya Ramadan 1446H/2025M Peringkat Bahagian Betong di Masjid Rahmaniah Kampung Pusa pada Khamis.
Program anjuran bersama JAKIM, JAIS dan Baitulmal Sarawak bagi mengimarahkan bulan Ramadhan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat Islam.
Hadir sama Wakil Residen Bahagian Betong Amir Ridzuan Mohammad, Pegawai Daerah Pusa Jamian Wahab serta wakil-wakil dari JAKIM, JAIS dan Masjid Rahmaniah Pusa.
Dalam program itu, seramai 10 asnaf telah menerima sumbangan daripada Baitulmal Sarawak yang disampaikan oleh Razaili sendiri.-EDISI UKAS